Beranda · Teknologi · Olahraga · Entertainment · Gaya Hidup

3 Foto kereta mewah Adibah Noor yang paling gempak

Bercakap tentang Adibah Noor, ramai yang mengenalinya sebagai penghibur bersuara lantang. Survival penyanyi berbadan besar ini dalam menyemarakkan industri hiburan tempatan amat dikagumi.

Rasanya tidak perlu semua cerita dan latar belakang Adibah dihebahkan satu persatu di sini. Barangkali peminat telah pun mengetahui bermacam kisah tentang wanita berusia 36 tahun ini.

Penulis mengandaikan ada seperkara yang khalayak belum tahu tentang penyanyi yang terkenal menerusi lagu Terlalu Istimewa ini.

Secara eksklusif, Kosmo! mengenengahkan keistimewaan serta sisi lain Adibah menerusi ruangan Ini Mobilku pada minggu ini.

Punya cinta mendalam terhadap kereta antik, itulah yang menggambarkan corak sebenar Adibah selain hobinya melontarkan vokal buat peminat.

Tidak dinafikan, rata-rata pemandu sekarang menjadikan mobil vintaj sebagai satu eskapisme, malah ada segelintir pemandu berasa malu menaiki kereta lama kala berada di jalanan. Kalau sudah namanya minat dan hobi, sudah tentulah ia berbeza-beza antara satu sama lain.

"Ia terpulang pada cita rasa individu," kata ringkas Adibah apabila ditanya pendapatnya tentang penggunaan kereta antik.

Pelakon yang kebiasaannya muncul menerusi karakter humor ini berkata, sesetengah orang berfikiran bahawa mobil lama diibaratkan bagai besi buruk yang tiada nilainya.

"Beza pula dengan pencinta kenderaan antik. Kalau dah ada minat mendalam, kereta yang dah lama pun dianggap cantik serta miliki keunikan sendiri.

"Pada saya kalau ada pemandu yang tak suka bawa kenderaan lama, tak mengapalah. Ia tak jadi masalah kerana masing-masing ada hak.

"Apa yang saya terkejut apabila ada golongan muda yang kini pakai kereta antik. Mereka tidak kisah langsung nak gunakan kenderaan itu di atas jalan raya.

"Selalu jugalah saya nampak anak-anak muda pandu kereta lama semasa berhenti di lampu isyarat," jelas Adibah menguatkan hujahnya.

Beli besi buruk

Ada yang berpendapat kereta antik tiada 'jiwa'. Ia diumpama barang lapuk yang tidak punyai kegunaan, malah tiada faedah menyimpan kenderaan usang itu.

Berlainan pula bagi Adibah yang sanggup membeli kereta jenama Fiat 600 sejak dua tahun lalu.

Bayangkanlah, kereta yang diibaratkan besi buruk itu hanya tersadai di rumah kawannya, sekadar menanti masa dilupus.

"Saya beli kereta itu dengan melalui seorang teman di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Dengan harga RM2,200, lalu ia terus menjadi milik saya.

"Sebab keadaannya yang dah uzur, kereta itu terpaksa diangkut dengan lori.

"Rasa kelakar dan menggelikan hati tengok kereta saya naik lori untuk di bawa ke bengkel yang terletak di Subang Jaya, Selangor," kata Adibah lalu tergelak besar.

Jangan terkejut, besi buruk yang tidak dipandang orang itu sudah bertukar 'wajah' dalam sekelip mata. Masakan tidak, sebanyak RM15,000 dihabiskan Adibah untuk memperindah Fiat 600 nya.

Rentetan itu, bermula episod baru Fiat 600 yang diberi nama Comel oleh Adibah. Apa lagi yang hendak dipersoalkan, kereta dan pemiliknya memang sama-sama comel.

Mereka 'bersatu' dengan sempurna. Terliur orang lain melihat kemesraan mereka berdua kala mengelilingi ibu kota.

Penulis melihat sendiri keintiman Adibah dan Comel. Kereta dengan rona coklat itu rupa-rupanya sedia berkhidmat untuk Adibah bila-bila masa sahaja.

Adibah yang tidak habis-habis memuji Comel memberitahu, dia tidak mahu terlebih-lebih merobah kondisi dan fizikal kenderaan itu.

"Saya nak ia kelihatan dalam bentuk asal. Enjinnya diperbaiki manakala sofa dan beberapa aksesori lain saya tukar baru.

"Nombor plat pendaftaran Comel juga masih dikekalkan kerana saya tak mahu keunikan Fiat 600 itu hilang.

"Satu saja yang membuatkan Comel ini kurang menarik, dia tak ada penghawa dingin. Enjinnya yang berkuasa kecil tak mampu tampung untuk pasang alat penyejuk itu.

"Tiap kali nak keluar bawa Comel beriadah, saya kena buka cermin kereta. Kalau tidak dibuka, boleh kepanasan saya dibuatnya dalam kereta ini," ungkap Adibah sambil matanya melirik ke arah Comel.

Pengalaman bersama Comel

Dek kerana model Fiat 600 sukar didapati dalam zaman serba moden ini, Comel sering mendapat perhatian 'penonton'.

Bukan Adibah seorang sahaja yang ada peminat dek statusnya sebagai penyanyi, Comel juga tidak terlepas miliki peminat sendiri.

"Kalau bawa kereta itu berjalan-jalan di sekeliling kawasan rumah, pasti banyak mata yang memandang Comel.

"Sudahlah keretanya nampak comel, tuannya juga sama comel. Ia diibaratkan menceriakan hari orang ramai yang melihat kami di jalanan," jelasnya terus tertawa.

Penggambaran penulis bersama Adibah di kediamannya yang terletak di pinggir pusat bandar raya petang itu tidak sunyi daripada hilaian tawa.

Ada sahaja celoteh Adibah tatkala berbicara lebih lanjut tentang Comel kesayangannya itu.

Kereta itu bagi Adibah mempunyai nilai sentimental yang tidak dapat ditukar ganti dengan wang ringgit.

"Saya tak akan jual kereta ini. Rasa sayang terhadap Comel selama dua tahun ini memang tak pernah hilang.

"Lagipun kereta jenis ini dah tiada lagi di pasaran, malah tak ramai yang pakai. Saya akan terus menyimpan Comel," janji Adibah bersungguh-sungguh.

Terus bercerita pengalaman manis bersama Comel, jelas Adibah, dia pernah disapa oleh pihak polis semasa Comel berhenti di lampu isyarat.

"Polis itu tegur saya sebab tak pakai tali pinggang keselamatan sewaktu memandu.

"Saya jawab balik kepada polis itu bahawa kereta antik memang tak ada tali pinggang keselamatan.

"Lalu dia terus tertawa dengan apa yang saya katakan," tutur Adibah mengimbas saat lucu yang dilalui bersama Comel.

Comel sayang Adibah

Sepanjang tempoh dua tahun menjalankan tanggungjawab sebagai 'orang' kesayangan Adibah, Comel jarang membuat perangai atau meragam walau dia sudah mencapai usia satu abad.

"Alhamdulillah, Comel tak selalu buat hal. Itu yang membuatkan saya sayang sangat dengan dia.

"Kebiasaannya dia alami masalah kecil seperti kebocoran, lagipun minyak hitam dan air tangki saya selalu periksa.

"Kenderaan antik ini perlu dibelai dengan sebaik mungkin, kalau dia dah okey, memang tak ada sebarang kerosakan.

Ditanya sama ada Adibah gemar menggunakan kudrat yang ada untuk mencuci Comel sendiri di rumah, Adibah pantas menjawab: "Hantar dia di kedai cuci kereta saja.

"Saya jarang ada masa terluang, lagipun malu pula dengan penduduk sekeliling yang melihat saya tertonggeng-tonggeng cuci kereta," seloroh Adibah lalu menghidupkan enjin Comel untuk ke kedai kopi berhampiran menikmati minum petang.

Sumber : Kosmo

0 Response to "3 Foto kereta mewah Adibah Noor yang paling gempak"

Post a Comment